Description
Tradisi penulisan naskah Melayu tradisional merupakan salah satu usaha masyarakat Melayu zaman silam merekodkan cacatan peristiwa yang berlaku di zaman tersebut. Berbeza dengan kaedah penulisan sejarah Dunia Barat yang menolak unsur-unsur lagenda dan mitos berdasarkan piawaian Kaedah Pensejarahan Rankean, kaedah penulisan sejarah dalam naskah-naskah Melayu tradisional tidak dapat dipisahkan daripada unsur-unsur lagenda dan mitos yang menjadi darah daging dan tradisi hidup masyrakat Melayu sejak sekian lama. Hal ini menyebabkan naskah-naskah Melayu tradisional tidak diakui sebagai satu catatan sejarah yang solid sebaliknya ia dilabelkan sebagai naskah sastera sejarah oleh para sejarawan dan ahli akademik moden.
Buku Misteri Raja Bersiung telah ditulis berdasarkan cebisan-cebisan kisah Raja Bersiung atau namanya yang sebenar adalah Raja Ong Maha Perita Deria di dalam naskah Hikayat Merong Mahawangsa, Kisah baginda yang memiliki siung (taring) dan gemar memakan hati serta meminum darah rakyatnya sendiri telah menjadi begitu terkenal dan dianggap sebagai satu lagenda termasyur sejak sekian lama. Namun begitu, masyarakat dan ahli akademik secara umumnya kurang memperdulikan fakta-fakta yang terdapat di dalam kisah Raja Bersiung ini kerana diselindungkan oleh unsur-unsur mitos dan mistik yang tidak dapat diterima oleh akal yang rasional.
Oleh itu, usaha penulisan buku ini telah dilakukan bagi mengangkat fakta-fakta sejarah sebenar yang benar-benar terdapat di dalam kisah Raja Bersiung berdasarkan naskah Hikayat Merong Mahawangsa dan menolak stigma negatif yang menganggap bahawa Raja Bersiung hanya sekadar satu susuk mitos yang tidak pernah wujud di dunia sebenar. Diharapkan semoga buku ini mampu memberi gambaran baru kepada para pembaca tentang kewujudan sosok tubuh benama Raja Bersiung dalam sejarah negeri Kedah pada suatu ketika dahulu.